Bebanan ini sudah mula ku pikul sejak diri ini mengenggam segulung ijazah. Ia bukanlah satu bebanan yang berat untuk dipikul cuma diri kecil aku merasakan ketidakmampuan untuk bebanan itu.
Ingin saja aku ajukan soalan kepada ayah yang sedari tadi ralit menonton perlawanan bola sepak."kenapa aku yang terpaksa berkorban?" kenapa aku yang harus lupakan cita-cita aku yang sudah sekian lama?". Tapi persoalan itu aku kemam-kemam dalam mulut ku sendiri, lalu ku telan.Pahitnya sungguh kuat terasa. Wajah ibu ku tenung sebentar, mencari satu jalan atau kekuatan atau sebenarnya berharap ibu akan menolong lagi kali ini.Tapi ibu juga diam, barangkali setuju dengan ayah kali ini. Aku berlalu ke kamar. Malas merasuk fikiran aku untuk berfikir tentang semuanya.
Jam di tangan aku renung. Sedalam mana renungan aku, aku juga kurang pasti. Saat melangkah ke minit juga aku tak pasti sudah berapa kali. Fikiran ku ralit lagi. Dewasa ini, otak ku kian ligat menelusuri jalan yang dulu belum pernah diteroka oleh minda dan jiwa. Namun, makin aku lalui jalan-jalan itu, makin aku setuju dengan ayah. Ayah ku sudah tua.Kalau ke tempat-tempat pelancongan yang bertiket, ayah sudah layak ku belikan tiket warga emas. Ya benar, ayah sudah lanjut usia, walaupun masih gagah uruskan ladang kelapa sawitnya. Kata ayah, untuk anak- anak kelak, supaya senang. Sejauh itu pengorbanan ayah untuk anak-anak tercinta, walau jarang sekali sayang itu terpamer. Mungkin itu caranya ayah tunjukkan kasih sayangnya pada anak-anak. Melihat itu, aku tertanya sendiri, masih lagi kau mahu pentingkan diri kamu sendiri, mengejar cita-cita yang hanya puaskan hati mu sendiri, tapi tidak mampu menggembirakan orang lain disekeliling mu. Dalam kamu kejar cita-cita kamu, sempat atau tidak kamu mahu berbakti untuk orang tuamu? Sungguh, aku belum pernah menanyakan soalan itu pada diriku sampai lah waktu ini.
Beban yang kurasakan tadi, mula berubah rasa. Berubah menjadi rasa bertanggungjawab untuk membalas kembali segala susah payah ibu dan ayah menjaga, mendidik, menyekolahkan aku sehingga aku berada dimana aku kini. Selagi hayat mereka masih ada, tak salah andainya aku lupakan seketika cita-cita ku untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang aku minati. Mungkin kalau aku berbuat sedemikian, bahagia pun takkan aku kecapi. Ya tak salah. Ibu Ayah, akan aku buat kamu bangga punyai anak seperti aku. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment